Sunday 8 January 2012

Wahai Kawanku

Orang selalu kata kawan ini kita memang kena pilih kerana kawan ketawa itu ramai. Namun sedarkah kita bahawa kawan menangis itu tiada seorang. Kenapa begitu? Pernahkah anda fikirkan selama kita hidup ini kita telah berjumpa dengan dengan tiga jenis manusia? Namun ketiga-tiga jenis manusia ini semuanya adalah amat berbeza.


Yang pertama, kenalan. Kenalan ini boleh jadi orang yang kita tahu namanya atau pun tidak. Boleh jadi kita jumpa di tengah jalan, melambai pada kita dan kita melambai pada dia semula. Kita rasa kita kenal dia. Kita pernah jumpa dia. Di mana atau pun bila itu kita tidak pasti.

Siapa dia, di mana dia belajar atau pun berkerja itu kita tidak pasti. Siapa ibunya, apa kerja bapanya, itu kita tidak tahu. Baikkah dia? Nampak ya. Senonohkah dia? Rasanya ya. Kenalan itu orang yang kita sedar kehadirannya tetapi tidak jelas tentang dia yang sebenarnya.

Zaman sekarang ini, kita lebih banyak kenalan. Ini disebabkan oleh kemajuan teknologi yang semakin canggih. Terutamanya kita mempunya ramai kenalan melalui laman sembang sosial seperti Facebook, Twitter, dan tidak kurang juga melalui medium Blog yang semakin ramai peminatnya.

Yang kedua, kawan. Yang ini kita tahu siapa namanya. Siapa nama ibu bapanya. Mana asalnya, mana tinggalnya. Kadang-kadang gula-gula apa dia suka makan pun kita turut tahu. Kita tahu perangainya. Kita tahu baik-buruknya. Kita tahu apa yang kita boleh harapkan daripada dia. Kawan ini orang yang selalu berada di samping kita dan kita tahu peribadianya.

Yang ketiga, teman. Teman ini semuanya sama dengan kawan. Tiada satu pun yang kurang. Cuma teman ini ada ciri-ciri yang lebih dari seorang kawan. Teman ini manusia yang akan sentiasa bersama kita, tidak kira masa. Hendak belanja makan dia, hendak pinjam duit pun dia, dia tidak kira susah atau senang. Tidak ambil kesempatan.

Teman ini baik dan buruk kita, dia simpan. Kita ini bukan sempurna, tetapi apabila ada orang cakap pasal buruk kita, dia diam sahaja. Bukan menerima saja keburukan kita, tetapi sebenarnya sangat menjaga maruah kita. Teman ini tidak hanya memuji saja. Dia tahu menegur. Bukan teman namanya sekiranya hanya tahu mengampu, mengangkat dan memuji sahaja.

Dia menegur dengan cara yang halus dan boleh kita terima. Ini kerana dia kenal kita, dia tahu kita in macam mana. Yang sama-sama ketawa itulah kenalan, kawan dan teman. Tetapi yang benar-benar menemani tangis hingga reda itu cuma teman.

p/s: Seribu kenalan itu terlalu sedikit. Kerana di dalamnya cuma ada puluhan kawan. Belum tentu pula da seorang teman.

No comments:

Post a Comment

Thanks To My Blog....Harap Sudi Singgah Lagi Di Blog Saya!!!TATA!!!